Backgrounds & Plaid Backgrounds
-->

Monday, November 7, 2011

KAEDAH BELAJAR SAINS

Kelemahan yang nyata di kalangan pelajar ialah kurangnya "Kemahiran Belajar" dan ini sangat mempengaruhi keputusan yang mereka perolehi dalam semua peperiksaan yang mereka lalui. Kelemahan ini ditambah lagi dengan sikap tidak mahu memperbaiki kelemahan diri berdasarkan kesilapan yang dilakukan. Biasanya selepas sahaja peperiksaan selesai kertas soalan akan dibuang dan dicampak merata tempat. Kalau pun ada yang masih menyimpan, tidak tahu di mana mereka menyimpannya. Disamping itu, sikap MALAS merupakan punca utama kelemahan pelajar.
Kaedah yang paling sesuai dan paling berkesan dalam belajar sains adalah perlu untuk mendapatkan kefahamaan yang benar-benar mantap dan mampu menghadapi sebarang bentuk soalan peperiksaan. Secara amnya, terdapat tiga kaedah umum untuk mempelajari sains.

1.    PEMAHAMAN
Sains untuk difahami BUKAN HAFALAN. Inilah kelemahan yang nyata di kalangan pelajar. Ramai pelajar menganggap sains itu susah kerana banyak sangat dihafal. Kena hafal istilah dan ejaannya, fakta, gambarajah, eksperimen dan banyak lagi. Kalau belajar hanya dengan menghafal apa jenis mata pelajaran pun akan susah. Perkara asas ialah KEFAHAMAN. Setelah anda faham maka mudahlah anda membuat hafalan (bukan untuk fakta atau istilah, tetapi untuk rajah, eksperimen ataupun ejaan). Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diingat oleh pelajar berkaitan dengan kefahaman;
·         Kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep biasanya samar-samar sahaja. Oleh itu, jawapan yang dikemukakan dalam peperiksaan biasanya terlalu umum dan kebanyakannya mengarut. Anda sepatutnya memahami sesuatu konsep dan tajuk dengan sepenuhnya sebelum anda mempelajari konsep dan tajuk yang baru.
·         Ramai juga pelajar tidak mengetahui bahawa konsep sains biasanya berkaitan antara satu dengan lain, di mana sesuatu konsep digunakan dalam banyak bab. Sebagai contoh, konsep atom, unsur, molekul, cas dan ion yang dipelajari dalam  bab 4 T4 (Jirim dan Bahan) digunakan dalam bab 5 T4 (Tindak balas kimia) dan bab 4 T5(Sebatian karbon). Kurang kefahaman terhadap konsep ini akan menyukarkan anda mempelajari ketiga-tiga bab tersebut. Seterusnya, sukar bagi anda untuk menjawab dengan baik soalan yang melibatkan konsep tersebut sama ada dalam bab 4, bab 5 T4 mahupun bab 4 T5.
2.        LATIHAN
Latihan merupakan perkara yang jarang dilakukan oleh pelajar. Kalau ada pun, latihan hanyalah tertumpu untuk kertas 1 (soalan objektif). Latihan dalam kertas 2 (struktur dan esei) sangat jarang dilakukan oleh pelajar. Kebanyakan pelajar ANGKUH dan beranggapan dengan HANYA MEMBACA mereka mampu menjawab apa jua bentuk soalan. Ingatlah bahawa sikap angkuh itu biasanya akan membawa padah yang buruk. Latihan perlu kerana dengannya anda boleh;
·         menguji sejauh mana kefahaman anda terhadap sesuatu tajuk;
·         mengesan kelemahan anda, sama ada dalam tajuk tertentu, konsep, istilah, rajah atau pun hafalan;
·         membiasakan anda dengan bentuk soalan dan
·         kaedah menjawab.
3.   NOTA RINGKAS ATAU PETA MINDA (peta konsep)
Nota ringkas perlu tetapi ramai pelajar juga kurang membuatnya, malah ada yang menganggap ianya tidak perlu lagi memandangkan di pasaran kini terdapat banyak buku-buku ringkas pelbagai jenama (walau pun sebenarnya tidak ringkas). Fenomena buku ringkas ini membuatkan pelajar menjadi MALAS untuk menulis. Akibatnya, dalam peperiksaan pelajar biasanya memberikan jawapan yang umum (bukan mengikut fakta sains), salah ejaan, mengarut dan fakta yang salah. Nota ringkas perlu kerana;
·         dengan menulis anda akan mudah faham dan mengingat kembali apa yang anda pelajari terutamanya yang melibatkan istilah, langkah-langkah dan rajah;
·         untuk mengulangkaji cepat ketika menghadapi peperiksaan;
·         melalui peta minda anda mudah memahami perkaitan sesuatu fakta dan konsep keseluruhan sesuatu bab; dan
·         dengan kaedah "mneumonik" anda mudah mengingat sesuatu perkara.

DUNIA SAINS DAN TEKNOLOGI – Tahun 1 KSSR


Mata pelajaran baru, Dunia Sains dan Teknologi akan diperkenalkan bagi murid Tahun Satu mulai tahun 2011 untuk menggantikan subjek Sains di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Subjek baru itu akan memberi pendedahan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara praktikal atau `hands-on’ bermula Tahun Satu, sekali gus membolehkan mereka memanfaatkan ilmu itu merentasi kurikulum untuk pembelajaran subjek lain.

Selain itu, mereka juga akan mempelajari asas sains hayat, sains fizikal dan sains bahan yang diberi penilaian berasaskan sekolah melalui kaedah pemerhatian secara berterusan serta pelbagai pendekatan meliputi secara bertulis dan projek ditentukan guru.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata guru yang terbabit dalam subjek baru itu sudah mula menjalani kursus peringkat daerah.
Mengikut sukatan pelajaran Dunia Sains dan Teknologi, murid Tahun Satu akan didedahkan kepada penguasaan ICT bagi enam minggu pertama yang memfokus kepada kemahiran menggunakan aplikasi dan program komputer.

“Pada dua minggu pertama, murid akan mempelajari Microsoft Word, diikuti Microsoft Power Point pada minggu ketiga dan keempat, manakala minggu kelima dan keenam pula didedahkan kepada Painting.

“Bagaimanapun, penguasaan kemahiran ICT ini tidak akan dinilai sebagai subjek peperiksaan, sebaliknya didedahkan kepada murid Tahun Satu sebagai menyuntik nilai tambah dari segi kreativiti dan inovasi.

“Selepas pendedahan enam minggu, murid akan mengasah dan memantapkan kemahiran dikuasai itu secara berterusan dan menggunakannya merentasi kurikulum untuk membantu keberkesanan pembelajaran mata pelajaran lain,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Dari segi pengisian kurikulum Sains pula, Mohamed Sabri berkata, sains hayat akan mendedahkan murid Tahun Satu kepada pembelajaran objek hidup seperti manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, manakala sains fizikal berkaitan semua jenis deria, dan sains bahan pula membabitkan teknologi serta kehidupan lestari yang merangkumi cipta bahan dan reka bentuk.

“Pengajaran subjek Dunia Sains dan Teknologi untuk murid Tahun Satu ini membabitkan dua waktu seminggu di mana mereka akan banyak terdedah kepada proses pembelajaran menyeronokkan menerusi kaedah inkuiri, iaitu secara dapatan dan penemuan menarik,” katanya.

Bagaimanapun bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, Mohamed Sabri berkata, Kementerian Pelajaran perlu bertindak proaktif melengkapi semua sekolah rendah dengan kemudahan makmal komputer atau sekurang-kurang peralatan komputer di setiap kelas Tahun Satu menjelang sesi persekolahan tahun depan.
“Masih ada sekolah rendah yang tidak memiliki kemudahan makmal komputer atau peralatan itu di bilik darjah. Sekiranya tidak ditangani segera, dikhuatiri akan menjejaskan matlamat pelaksanaan KSSR,” katanya.